Total Pageviews

Monday, June 8, 2009

Anakku Sayang

Anakku,
perjalanan hidup ini sememangnya berteraskan kesabaran,
bertunjangkan keimanan,bersendikan keilmuan, bersalutkan hikmah
Dengarlah anakku
pesan ayah yang sentiasa mendoakan kesejahteraanmu
sejak dari kandungan ibumu hingga kini kau mengenal dunia

Anakku,
seandainya hidupmu dihimpit kesakitan dan kepayahan
malah jika derita datang menimpa,
kau harus sedar bahawa Allah s.w.t sedang mengujimu
sebagai tanda kasih-Nya kepada mu
Andainya hidupmu diulit kesenangan dan kemewahan
kau harus sedar bahawa Allah s.w.t sedang mengujimu
dengan limpah kurnia yang ada
Aturlah hidupmu dengan bijaksana,
Usaha,doa dan tawakal, jangan kau lupa.

Anakku,
ayah mu ini sering mengharapkan kau berbahagia
hidup di dunia dan di akhirat
Tabahkan hatimu, tingkatkan keyakinan dirimu,
maniskan tutur katamu,sopanlah kamu kepada orang tua
hormatilah rakan sebaya, lihatlah perbezaan dengan pandangan bijaksana.

Tuntutlah ilmu dengan sepenuh hatimu,
Pasti ada cahaya harapan untukmu,
Ayah dan ibu sentiasa mendoakan kejayaanmu.

Nukilan : Esa Alhaj